Penawaran Biasiswa MyBrainSc tahun 2019 dibuka bermula pada 25 Januari 2019 mulai jam 4 petang sehingga 10 Februari 2019 jam 11.59 malam. Biasiswa ini terbuka kepada seluruh warganegara Malaysia yang sedang atau akan mengikuti pengajian di peringkat Ijazah Pertama dan Pasca Ijazah secara sepenuh masa dalam bidang sains tulen iaitu Fizik, Kimia, Biologi dan Matematik di Universiti Awam (UA), Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) dan universiti terkemuka luar negara.

Di antara objektif Biasiswa MyBrainSc ialah:

– Melahirkan tenaga pengajar dalam bidang sains tulen yang mencukupi bagi menampung keperluan UA;
– Menggalakkan pelajar cemerlang menceburi bidang sains tulen bagi melahirkan masyarakat yang inovatif dan berkepakaran tinggi;
– Melahirkan saintis rakyat Malaysia yang bertaraf dunia dan layak menerima pengiktirafan tertinggi seperti Nobel Laureate; dan
– Menjadikan Malaysia sebagai sebuah hub kecemerlangan pendidikan (center of academic excellence) di pentas dunia dan seterusnya mencapai status pendidikan bertaraf dunia.

Di antara syarat perjanjian yang perlu dipatuhi oleh calon adalah calon yang layak akan dikenakan ikatan perjanjian dan tempoh kontrak berkuatkuasa adalah bergantung kepada tempoh pengajian yang dibiayai oleh Kementerian. Kementerian berhak menarik balik penajaan serta mengenakan tuntutan gantirugi ke atas calon sekiranya;

Calon diberhentikan oleh institusi pengajian kerana masalah disiplin, kelemahan akademik atau sebab-sebab lain yang digariskan oleh syarat program dan perjanjian ini; dan
Calon menarik diri dalam tempoh tajaan tanpa kebenaran terlebih dahulu daripada Kementerian.

Calon yang layak dan berminat bolehlah membuat permohonan secara atas talian di pautan berikut:

https://biasiswa.moe.gov.my/MyBrainSc/login.php

Semua pemohon diingatkan untuk membaca dengan teliti semua prosedur berkaitan permohonan dan memastikan semua dokumen yang diperlukan dimuat naik dengan lengkap dan boleh dilihat dengan jelas.

Kementerian Pendidikan Malaysia mempunyai hal untuk tidak mempertimbangkan permohonan yang tidak lengkap dan tidak mengikuti syarat – syarat yang ditetapkan.