COMMUNITY ENGAGEMENT

2017: Skuad Asatizah Muda

KUALA LUMPUR, 30 Mac 2017 – Penyelidikan Berasaskan Penyertaan Komuniti (CBPR) adalah pendekatan kolaboratif untuk menggabungkan pengetahuan dan tindakan bagi mencapai perubahan sosial menerusi pengetahuan yang menjadi perhatian utama komuniti.

Majlis Perasmian Penubuhan Skuad Asatizah Muda (AZAM) dari Kalangan Kanak-Kanak Fitrah di Kawasan Kg. Periok-Chow Kit untuk Kanak-Kanak Istimewa telah berlangsung di Dewan Seminar, Menara Razak UTM Kuala Lumpur pada jam 11.00 pagi. Majlis ini telah dirasmikan oleh YBhg. Dato’ Kamilia Ibrahim iaitu Ketua Dewan Wanita, Majlis Dakwah Negara. Simbolik inisiatif yang ditunjukkan merupakan satu titik permulaan bagi projek yang telah diluluskan di bawah Dana UCTC Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).  Projek yang bernilai RM30,000.00 ini telah bermula pada 1 November 2016 hingga 31 Oktober 2017 diketuai oleh pensyarah dari UTM Advanced Informatics School (AIS), Prof. Madya Wardah Zainal Abidin bersama 12 ahli pasukan yang telah berhempas pulas dalam menjayakan projek tersebut.

Sebagai tuan rumah, UTM Kuala Lumpur terlah menerima kehadiran para peserta daripada beberapa organisasi termasuklah 50 orang kanak-kanak dan guru dari Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK), kanak-kanak dari Yayasan FAQEH, kakitangan dari Institut Pengajian Al-Quran,  penyelidik dari Centre for Quranic Research, Universiti Malaya (UM), ahli lembaga Malay Agricultural Settlement (MAS), wakil-wakil industri, NGO serta penyelidik dan pensyarah dari UTM AIS, UTM Razak School dan Fakulti Tamadun Islam UTMKL telah terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan projek ini. Majlis dimulakan dengan ucapan daripada ketua projek, diikuti oleh Pengetua SBJK, Encik Zulkernei Fauzi dan diteruskan dengan ucapan perasmian oleh YBhg. Dato’ Kamilia Ibrahim.

Dalam majlis tersebut, YBhg. Dato’ Kamilia Ibrahim juga telah melancarkan logo Skuad AZAM untuk dijadikan lambang rasmi sepanjang projek ini dijalankan. Beliau memberi dorongan kepada anak-anak untuk belajar ke tahap yang tertinggi bagi membanggakan kedua-dua ibu bapa serta masyarakat sekitar. Beliau juga telah mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Pasukan Projek UTM kerana berjaya menemukan dua golongan yang istimewa ini dalam satu wadah ilmu yang praktikal.  Lantas beliau telah mengumumkan bahawa Projek Asatizah Muda ini akan dijadikan anak angkat di bawah Dewan Wanita, MDN dan berjanji akan membantu usaha murni pasukan projek ini.

 

Untuk projek rintis ini seramai 20 orang kanak-kanak lelaki dan perempuan antara umur 9 hingga 17 tahun dari SBJK telah dikenalpasti dan akan menjalani program latihan secara bermodul dan berkala untuk membentuk mereka menjadi pembantu pengajar Al-Quran (asatizah muda) kepada anak-anak autisma di Yayasan FAQEH, Petaling Jaya.

Para hadirin juga telah dimaklumkan bahawa selepas majlis perasmian tersebut, 20 orang anak-anak Skuad AZAM ini akan bermula latihan mereka dengan perkemahan di UTM selama 2 hari 1 malam. Ini akan diikuti dengan program mingguan selama 20 minggu pada setiap hari Jumaat dari jam 9.00 pagi hingga solat Jumaat.  Aktiviti yang pelbagai tetapi berasaskan sains dan teknologi selain pembacaan al-Quran akan dijalankan di kampus UTM KL dan di Yayasan Faqeh.