Koordinasi ialah ungkapan paling kritikal ketika Malaysia dan juga seluruh dunia menghadapi ancaman Covid-19 yang tidak mengenal status negara atau individu seseorang.

Sebab itu apabila Amerika Syarikat (AS) mengatasi China dari segi jumlah jangkitan virus dan Perdana Menteri United Kingdom (UK) Boris Johnson disahkan positif Covid-19, itu adalah manifestasi virus yang tidak memilih sasarannya.

Koordinasi hanya boleh terlaksana dengan efisyen apabila wujud polisi atau perundangan dan juga kepimpinan yang membenarkan organisasi bertanggung jawab melaksanakan peranan masing-masing.

Kewujudan polisi sedemikian adalah penting kerana ancaman Covid-19 bukan sahaja berkait dengan isu kesihatan tetapi merangkumi berbagai sektor seperti keselamatan, ekonomi, sosial, pendidikan dan banyak lagi.

Umpamanya apabila Malaysia melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lepas, polisinya adalah untuk mengawal pergerakan rakyat Malaysia supaya rantaian jangkitan virus Covid-19 dapat diputuskan.

Polisi yang serupa yang mula diamalkan di Wuhan, wilayah Hubei di China dua bulan lepas telah membuahkan hasil yang mengembirakan apabila jumlah penduduk yang dijangkiti virus ini dapat dikurangkan dengan begitu drastik sekali sehingga Beijing mengistiharkan wilayah Hubei bebas jangkitan Covid-19.

Tetapi hakikatnya adalah polisi tanpa kekuatan perundangan tidak akan membawa apa-apa makna kerana kekangan penguatkuasaan.

Sebab itu juga polisi PKP diiringi antaranya dengan dua kekuatan perundangan iaitu Akta Pengawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan juga Akta Polis 1967.

Polisi PKP hanyalah sebahagian strategi mendepani isu Covid-19 demi setiap langkah yang dilaksanakan dapat dilakukan secara bersepadu dan tersusun iaitu kordinasi yang mantap. Kepimpinan adalah juga kritikal dan dalam hal ini Majlis Keselamatan Negara (MKN) digunakan sebagai agensi rujukan untuk memastikan polisi yang dibentuk dapat dilaksanakan dengan tersusun dan berkesan.

Mengapa MKN digunakan sebagai asas jawatankuasa menangani Covid-19 adalah kerana agensi ini mempunyai kekuatan dari segi perundangan melalui Akta MKN 2016 yang antara lain mempunyai kekuatan struktur organisasi terutama sekali yang membabitkan isu keselamatan.

Tetapi perlu diberi perhatian walaupun MKN digunakan sebagai agensi rujukan pengubalan polisi berkait Covid-19 tetapi oleh kerana isu ini bukan  hanya berkait keselamatan semata-mata tetapi merentasi berbagai sektor maka ahli yang menganggotai jawatankuasa yang dipengerusikan sendiri oleh YAB Perdana Menteri terdiri dari pelbagai latar belakang dan kepakaran.

Pentingnya keanggotaan yang pelbagai ini adalah untuk memastikan setiap polisi yang digubal dapat dilaksanakan tanpa terencat oleh pihak yang berkaitan.

Tidak dapat dinafikan dalam masa 48 jam pertama perlaksanaan PKP terdapat beberapa isu percanggahan polisi kerana koordinasi antara agensi belum beberapa mantap pada ketika itu. Tetapi selepas beberapa hari beberapa kepincangan dapat diperbetulkan dan diselaraskan dan tidak timbul lagi masalah dalam perlaksanaan PKP pada ketika ini.

Jika diteliti polisi digubal merangkumi tiga entiti penting dalam hal koordinasi ketika negara menangani isu Covid-19.

Entiti pertama ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai PM bertanggung jawab membuat pengumuman penting umpamanya mengenai perlaksanaan PKP dan juga Pakej Rangsangan Ekonomi.

Menteri Pertahanan iaitu Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob adalah entiti kedua dalam hal keselamatan dimana kenyataan berkait akan dikeluarkan oleh beliau. Entiti ketiga pula ialah berkait sektor kesihatan yang dikendalikan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah yang lazimnya akan membuat sidang akhir setiap hari mengenai status Covid-19.

Setiap keputusan yang dibuat tidak kira merangkumi sektor apa sekali pun mesti selari dengan polisi yang diputuskan oleh jawatankuasa Covid-19.

Umpamanya apabila Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) membuat keputusan untuk menasihati universiti awam dan swasta mengenai tarikh permulaan semester kedua sesi 2019/2020, semua keputusan tersebut adalah selaras dengan polisi induk yang diputuskan oleh MKN.

Tidak dinafikan koordinasi adalah kritikal dan rakyat Malaysia secara puratanya berpuas hati cara kerajaan menangani isu virus ini. Tahap puas hati ini adalah penting kerana sedikit sebanyak ia akan meredakan kegusaran rakyat terutama sekali dalam tempoh PKP. Malaysia berada dalam keadaan yang bernasib baik kerana koordinasi antara pihak yang berkait berlaku dalam tahap yang efisyen.

Polisi yang digubal mampu dilaksanakan dengan tersusun kerana wujud koordinasi serta kepimpinan dan dikuatkan dengan asas perundangan melalui penggunaan akta berkaitan sedia ada.

Jika tidak wujud koordinasi, kepimpinan dan polisi maka apa yang menimpa AS adalah senario yang dijangkakan dan patut dihindarkan.

Tidak wujud koordinasi antara kerajaan Persekutuan pimpinan Presiden Donald Trump dengan Gabenor beberapa negeri seperti New York umpamanya. Trump sebelum ini gagal dengan cadangan pengistiharaan kuarantin terhadap penduduk bandar New York kerana dibantah oleh Andrew Cuomo, Gabenor New York.

Begitu jua dengan Cuomo membuat ugutan akan menyaman Gabenor Rhode Island dalam isu kemasukan kenderaan yang berasal dari New York ke Rhode Island.

Walaupun New York dianggap sebagai kawasan merah kerana mempunyai jumlah penduduk yang positif Covid-19 paling ramai, tetapi oleh kerana tidak wujud koordinasi maka polisi yang sepatutnya dapat mengurangkan jumlah jangkitan tidak dapat dilaksanakan walaupun AS dianggap negara yang terkehadapan dalam segala hal.

Disediakan oleh:

Prof. Madya Sr. Azmi bin Hassan

Ketua Kumpulan Penyelidikan Kajian Polisi

Fakulti Teknologi dan Informatik Razak

Universiti Teknologi Malaysia