UNIVERSITY SOCIAL RESPONSIBILITY (USR) PROGRAM “DEKAT 2016”

by | Apr 4, 2016

UTM RAZAK School of Engineering and Advanced Technology (UTM RSEAT) sekali lagi telah menganjurkan satu program University Social Responsibility (USR) di bawah flagship Service Learning yang dinamakan sebagai “DEKAT 2016” pada 27 Mac 2016 yang lalu bertempat di Jalan Hang Lekiu, Kuala Lumpur. Tujuan utama penganjuran program “DEKAT 2016” ini adalah untuk mendekati dan seterusnya membantu golongan gelandangan meringankan beban hidup menerusi sumbangan berbentuk barangan penjagaan diri, pakaian dan makanan yang diperolehi dari warga kampus UTMKL, khususnya UTM RSEAT serta masyarakat sekitar. Selain daripada sumbangan dalam bentuk peralatan dan pakaian solat, sumbangan utama adalah dalam bentuk wang ringgit dari UTM RSEAT serta kolaborator “DEKAT 2016” yang terdiri daripada Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) Cawangan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuala Lumpur, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Organisasi Bukan Kerajaan (NGO) dari Love Heals dan Persatuan Kebajikan An-Najah Selangor (PKAS), Sekolah Kebangsaan Cheras Indah dan ETM Prima Sdn. Bhd. Hasil sumbangan wang ringgit telah digunakan untuk membeli bahan mentah untuk masakan, barangan keperluan serta penjagaan diri kepada golongan gelandangan. Seramai 17 orang mahasiswa pasca siswazah UTM RAZAK School of Engineering and Advanced Technology selain 22 orang wakil dari kolaborator telah ke lokasi “DEKAT 2016” di Jalan Hang Lekiu dengan berbaju seragam merah, diiringi oleh seorang kakitangan akademik UTM RSEAT, juga selaku penasihat program ini iaitu Ir. Dr. Syuhaida Ismail. Jalan Hang Lekiu, Kuala Lumpur menjadi pilihan utama “DEKAT 2016” kerana lokasi ini merupakan tumpuan gelandangan untuk bermalam dan merehatkan diri.

Tema “DEKAT 2016” dipilih bagi menggambarkan pendekatan mahasiswa UTM RSEAT bersama masyarakat terhampir yang memerlukan bantuan dalam meringankan beban mereka. Antara pengisian program ini adalah pengagihkan bungkusan makanan serta barangan yang mengandungi keperluan penjagaan diri seperti ubat gigi, berus gigi, sabun mandi, syampu, tuala, pengetip kuku, putik kapas, sikat, lampin bayi, tuala wanita serta pakaian. Selain itu juga terdapat barangan lain yang turut disumbangkan, antaranya buku santapan rohani, peralatan solat, air mineral, air kotak, biskut, roti dan nasi goreng yang dimasak secara gotong royong oleh kesemua sukarelawan yang terlibat.

Sukarelawan mula bergerak ke lokasi “DEKAT 2016” mulai jam 6.00 petang dan selesai pada jam 11.00 malam. Para sukarelawan juga turut menyelami kehidupan gelandangan ketika berbual dan beramah mesra dengan gelandangan terbabit. Sesi perkongsian pengalaman oleh sukarelawan mengakhiri aktiviti pada malam tersebut di samping penyampaian cenderahati kepada wakil PUSPANITA KBS, JKR, JPNIN, Love Heals, PKAS, SK Cheras Indah dan ETM Prima Sdn. Bhd. atas penglibatan mereka dalam “DEKAT 2016”. Semoga dengan penganjuran program ini dapat membentuk keperibadian mahasiswa yang tidak mudah menyerah kalah dan sentiasa berusaha bagi memastikan misi dan visi sesuatu program USR atau GOP itu tercapai dengan jayanya.