Lima Kampung Di Rantau Panjang Dipilih Dalam Progam Kajian Bencana

PASIR MAS, 13 Okt (Bernama) — Universiti Teknologi Malaysia (UTM) memilih lima kampung di Rantau Panjang di sini, sebagai model dalam program kajian ‘Town Watching’ bagi mengenal pasti kaedah pengurangan risiko bencana banjir.

Pengarah program tersebut, Dr Khamarrul Azahari Razak sejumlah 40 ahli sains terlibat dalam program kajian yang dijalankan dengan kerjasama Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA).

Katanya program itu dibangunkan oleh Jepun sejak 12 tahun lepas bagi mengenal pasti penyelesaian masalah bencana yang melanda negara itu.

“Di Malaysia, program kajian ini pertama kali dilakukan iaitu di Rantau Panjang,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian program Hari Pengurangan Risiko Bencana UTM di Sekolah Kebangsaan Gual Tinggi, di sini, hari ini.

Majlis itu dirasmikan Ketua UMNO Bahagian Rantau Panjang, Datuk Abdullah Mat Yassin yang juga Penasihat Pasukan Tindak Balas Kecemasan Pertahanan Awam Komuniti Rantau Panjang.

Lima kampung terbabit ialah Kampung Banggol Kulim, Kampung Rahmat, Kampung Kuala Itik, Kampung Gual Sitok dan Kampung Bakat, yang sering dilanda banjir khususnya pada musim tengkujuh pada setiap tahun.

Khamarrul Azahari berkata kajian tersebut juga akan membantu kerajaan mengurangkan peruntukan bagi membaik pulih infrasruktur dan harta benda lain yang rosak akibat banjir.

Katanya hasil kajian tersebut juga akan dikongsi dengan pelbagai jabatan dan agensi yang berkaitan dengan pengurusan bencana.

— BERNAMA

Town Watching,! Lima Kampung Di Rantau Panjang Dipilih Dalam Progam Kajian Bencana

http://www.bharian.com.my/node/201797

http://www.bernama.com/bernama/state_news/bm/news.php?id=1291692&cat=tm