Kumpulan Penyelidik U-BAN Mendukung Kerjasama Universiti-Industri Melalui Kolaborasi Dan Jalinan Industri Bersama Syarikat Ventura IOT Sdn. Bhd.

Selaras dengan status UTM sebagai Universiti Penyelidikan yang sentiasa mendukung kerjasama dan penglibatan bersama pihak industri, kumpulan penyelidik U-BAN, Fakulti Teknologi dan Informatik Razak tanpa berlengah terus membuat temujanji sebaik sahaja menerima pelawaan daripada Ketua Pegawai Eksekutif, syarikat Ventura IOT Sdn Bhd, Encik Ts. Meor Tawfik Amirrudin untuk lawatan industri ke premis mereka.

Pada 2 Disember 2021, seramai 5 orang ahli yang diketuai oleh Dr Rudzidatul Akmam selaku Ketua Kumpulan Penyelidik U-BAN telah mengunjungi syarikat Ventura IOT Sdn. Bhd. yang beralamat di Bukit Jelutong, Shah Alam, Selangor. Kami telah disambut mesra oleh kakitangan syarikat Ventura IOT Sdn. Bhd. yang diketuai sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif, syarikat Ventura IOT Sdn. Bhd., Encik Ts. Meor Tawfik Amirrudin.

Objektif utama lawatan industri ini adalah untuk berkolaborasi dan menjalinkan hubungan dengan pihak industri dalam penyelidikan. Pelbagai perkara telah dikongsi dan dibincangkan terutama berkaitan peluang penyelidikan dalam menyelesaikan permasalahan di industri. Lawatan dan perbincangan selama sehari itu telah memberikan hasil yang sangat positif di mana syarikat Ventura IOT Sdn. Bhd. telah berbesar hati menawarkan peluang-peluang penyelidikan termasuklah peluang geran industri dan pembangunan modal insan. Syarikat Ventura IOT Sdn. Bhd. juga telah berhasrat untuk memeterai perjanjian kolaborasi secara rasmi bersama UTM.

Kumpulan U-BAN sangat teruja dengan peluang kolaborasi bersama syarikat Ventura IOT Sdn. Bhd. dan akan terus mengorak langkah dalam mendukung kerjasama universiti-industri melalui kolaborasi dan jalinan industri ini.

 

https://news.utm.my/ms/2021/12/kumpulan-penyelidik-u-ban-ftir-dukung-kerjasama-universiti-industri-bersama-syarikat-ventura-iot-sdn-bhd/